Monday, November 8, 2010

Bukan Sekadar Nasib: Fahmi



Penjaga gol Kelantan mahu buktikan pemilihannya tepat

"SAYA mahu buktikan pemilihan saya bukan sekadar nasib!," tegas penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi pertama kali dalam kejohanan utama di Sukan Asia Guangzhou 2010.

Penjaga gol Kelantan yang baru dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik Liga Malaysia musim ini, disenaraikan dalam kesebelasan utama K Rajagobal selepas kecederaan yang dialami dua penjaga gol utama, Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee Ramli.

“Saya masih tidak percaya ia berlaku serentak tahun ini apabila saya membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia, memenangi anugerah penjaga gol terbaik dan terpilih menyarung jersi negara.

“Mungkin ini rezeki saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan. Saya berjanji memberikan persembahan terbaik bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi,” katanya.

Ujian pertama penjaga gol 22 tahun itu adalah menentang Kyrgysztan hari ini.

“Perasaan saya bercampur baur, apalagi ini adalah kali pertama saya beraksi dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia dan bebanan yang digalas bukan kepalang. Tetapi, sokongan rakan banyak membantu saya,” katanya.
Menurut Khairul Fahmi, walaupun ramai tonggak cedera dan tidak beraksi, dia percaya skuad negara mampu menyaingi lawan.

“Kami menghadapi banyak masalah terutama kecederaan pemain tonggak tetapi kami sudah melupakannya, sebaliknya kini memberi tumpuan penuh untuk memenangi perlawanan menentang Krygzstan,” katanya

2 comments:

Tulis entri panjang sekali,
Jejariruncing nama diberi,
Dahulu Elia bergigi besi,
Lain kali comment la lagi!!

*mind your words.any harsh words will not be entertained ;)