










:: Balik tu terserempak dengan 2 of TRW's fan. sempat bergambar dgn mereka .boleh baca kat entry diorang. sorry ek saye cilok gambar from your blog::












KUALA LUMPUR: Sejak menjuarai kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini, ‘saham’ atau populariti pemain bola sepak negara tiba-tiba melonjak naik.
Sebagaimana kejayaan mereka dalam sukan berkenaan, aksi menarik mereka khususnya penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat; pemain pertahanan, Mohamad Muslim Ahmad dan Mohamad Fadhli Mohd Shas; pemain tengah, Mohd Safiq Rahim dan Amar Rohidan; serta penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Mohd Sali kini turut menjadi bualan serta pujaan di kalangan ramai wanita.
Namun, pasti ramai gadis kecewa kerana sebahagian wira negara itu sudah beristeri dan juga mempunyai teman wanita.
Secara tidak langsung juga isteri dan teman wanita pemain negara turut melonjak popular dan menarik perhatian ramai mengenai diri mereka di sebalik kejayaan suami dan teman lelakinya.
Diri mereka kini boleh diumpamakan seperti WAGs (Wife and Girlfriends) bintang bola sepak England yang sentiasa mendapat perhatian peminat bola sepak negara itu hingga menjadikan mereka seperti seorang selebriti gara-gara populariti suami yang mewakili England serta menjadi bintang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Nama WAGs yang cukup dikenali di EPL adalah seperti Coleen McLoughlin juga isteri kepada Wayne Rooney; Alex (Steven Gerrard), Christine Bleakley (Frank Lampard), Toni Poole (John Terry), Carly Zucker (Joe Cole), Chantelle Tagoe (Emile Heskey), Ellie Darby (Matthew Upson), Laura Johnson (Glen Johnson) dan Amanda Salmon (David James).
Kini, peminat bola sepak tempatan mula tercari-cari WAGs pemain negara yang bakal menerima tempias di atas populariti pemain muda selepas muncul juara buat pertama kalinya dalam sejarah kejohanan itu.
Sebelum ini, nama wanita yang boleh dianggap sebagai WAGs Malaysia adalah artis Rita Rudaini dan Ayu Raudhah apabila masing-masing berkahwin serta bertunang dengan pemain kembar negara, Aidil Zafuan Abdul Razak dan juga Zaquan Adha.
Sejak kejayaan merangkul Piala AFF Suzuki 2010, nama Siti Aisya Adam yang baru mendirikan rumah tangga dengan penyerang berbisa, Norshahrul Idlan; Noor Fazilawati Abdul Salam (isteri Mohd Ashaari Samsudin); Sabrina Yusof (isteri Safee), Tasha (teman wanita Mohd Safiq) dan juga Aimie Harmelia (teman wanita Khairul Fahmi) mencuri perhatian ramai.
Seperti juga Aidil dan Zakuan yang memilih artis sebagai pasangan hidup mereka, pemain pertahanan negara, Asrarudin Putra Omar juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon jelita, Rozita Che Wan, tetapi kedua-duanya menafikan gosip berkenaan, sebaliknya mendakwa hanya mengenali antara satu sama lain atas dasar kawan.
Bagaimanapun, tidak ramai pemain yang beraksi dalam pasukan Piala AFF Suzuki itu mendedahkan identiti isteri dan teman wanita mereka serta mungkin ada yang masih solo kerana rata-rata pemain negara itu berusia 19 tahun dan awal 20-an.
Berkemungkinan juga, ada antara mereka menyembunyikan hubungan dengan teman wanita masing-masing kerana tidak mahu mereka menjadi tumpuan ramai.
Yang pasti, mungkin tidak seteruk keadaan dialami WAGs bintang EPL yang turut menjadi buruan paparazi dan juga ancaman culik oleh penjenayah hingga ada antara mereka terpaksa mengupah pengawal peribadi.
WAGs Malaysia pastinya akan turut merasai kesan berikutan hubungan mereka dengan pemain bola sepak negara yang menerima sanjungan peminat tempatan yang ketika ini ghairah meraikan kejayaan pasukan negara mencipta sejarah di peringkat Asia Tenggara.







